Success
Fail
logo

Sarawak teroka kerjasama strategik dalam sektor utiliti dan angkasa di China

July 15,2025

By:Saibi Gi

GUANGZHOU (CHINA), 15 Julai: Sarawak meneroka potensi kerjasama strategik dalam sektor utiliti, telekomunikasi dan industri angkasa menerusi lawatan kerja teknikal ke beberapa wilayah utama di China.

Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan bahawa lawatan lima hari yang diketuai menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi bermula di Guangzhou pada 14 Julai dan akan turut meliputi Shenzhen serta Hainan sehingga 18 Julai.

Julaihi berkata lawatan itu bertujuan meninjau teknologi baharu dan amalan terbaik global dalam sektor air, tenaga, telekomunikasi serta angkasa bagi meningkatkan perkhidmatan utiliti di Sarawak.

“Lawatan kerja teknikal ini adalah sebahagian daripada komitmen kementerian untuk meneroka amalan terbaik antarabangsa dan teknologi canggih dalam bidang bekalan air, tenaga, telekomunikasi serta industri angkasa.

“Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan agensi atau syarikat berkaitan di Guangzhou, khususnya dalam aspek pembinaan kapasiti, projek perintis bersama dan penerapan teknologi baharu,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Delegasi Sarawak turut meninjau dua fasiliti rawatan air utama di Guangzhou iaitu Loji Rawatan Air Huangge Fasa II dan Loji Rawatan Kumbahan Lijiao yang menjadi antara contoh pengurusan air pintar dan mampan di China.

Turut melengkapkan lawatan ialah kunjungan ke Stesen Janakuasa Simpanan Pam Shenzhen, Bandar Angkasa Antarabangsa Wenchang dan ibu pejabat Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA).

Source:

https://www.tvsarawak.my/2025/07/15/sarawak-teroka-kerjasama-strategik-dalam-sektor-utiliti-dan-angkasa-di-china/